Wednesday 16 November 2011

HanYA SeOrANG AYAH

"Ayah! Cepatlah! Thariq dah lambat nak pergi sekolah ni!"Masam mencuka wajah Thariq didepan pintu menunggu ayahnya yang sedang menyiapkan bekalan sekolah untuknya.

"Kejaplah. Ayah tengah nak letak nasi goreng dalam bekas ni."Ayahnya cepat-cepat mencapai penutup bekas makanan. Sedikit keluhan dilepaskan.

"Dah. Jom. Nanti lambat pulak nak ke sekolah."Ujar Arman kepada anaknya yang menunggu di depan pintu sambil menghulurkan beg sekolah anaknya. Sedikit senyuman dihadiahkan buat Thariq dengan harapan mampu menyejukkan kemarahan hati si kecil itu.

"Alah, kalau lambat pun sebab ayahlah. Tak payah nak tapau makanan pun. Thariq boleh beli kat kantin la ayah. Nanti lambat, Thariq yang kena marah dengan cikgu, bukannya ayah!"Terkedu wajah Arman di muka pintu mendengar kata-kata anaknya.

Segera dia beristghfar. Bimbang hati lelakinya akan dicucuk-cucuk syaitan yang mungkin mengundang kemarahannya buat si anak.

Bagi Tharif, dia sengaja berkata begitu kepada ayahnya untuk melepaskan kemarahan kerana semalam adalah hari jadinya. Namun, tiada hadiah yang diberikan ayah kepadanya. Bahkan ucapan selamat hari lahir pun tiada. Terkadang terasa bahawa ayahnya tidak langsung menyayanginya.

Setelah sampai di hadapan sekolah, segera Thariq keluar pintu kereta tanpa menyalami tangan Arman seperti biasa. Merajuk barangkali. Sekadar mengelengkan kepala, Arman ingin segera beredar.

"Thariq!"Satu suara yang dikenalinya sayup-sayup kedengaran. Faruqi melambai-lambai dari jauh. Tersengih-sengih Faruqi menunjukkan giginya yang sedikit jarang.

"Eh Thariq, jap lagi aku nak tengok kau punya pratikal sains minggu lepas. He..he..nak check betul tak aku punya ni".

"Sains? Eh, hari ni mana ada subjek sains".Berkerut-kerut dahi Thariq dengan pertanyaan Faruqi. Hatinya punya berdebar kerana dia amat yakin yang buku itu ditinggalkan di rumah.

"Memanglah sains takde. Tapi cikgu Latifah kan suruh hantar buku tu hari ni. Jangan pulak kat kata tak bawak. Habislah kau."Kata Faruqi sekadar mengusik.

"Hah? Serius ke? Alamak! Aku memang tak bawak la. macam mana ni? Aduh, mesti kena marah lagi."Thariq sudah menarik-narik tali lehernya. Terasa seakan tersesak nafasnya dek terlalu risau.

"Kau pergilah telefon ayah kau suruh pergi ambik jap. Bukannya jauh pun office ayah kau dengan rumah."

"Aku baru je lepas marah ayah. Nak ke ayah pergi ambik buku aku? Takpe lah. Cuba je dulu."Thariq berkira-kira dalam hati.

terus dia menuju ke telefon awam yang berada di tepi pondok pengawal.

.................

Arman sudah sampai di parking lot pejabatnya. Dilihat jam di tangan sudah 7.50 pagi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.

"Ayah! Thariq ni."Kedengaran suara anak kecilnya di talian. Oh, Thariq, kenapa nak?"

"Em...Thariq sedikit teragak-agak.

"Ayah, Thariq tertinggal buku pratikal kat rumah. Kena hantar hari ni. Kalau tak cikgu marah. Ayah tolong hantarkan, boleh tak? Buku tu ada kat atas meja dalam bilik."

"Ok, jap lagi ayah hantarkan."Arman sudah serba salah.

Pagi ini dia perlu menemani ketuanya untuk bermesyuarat dengan syarikat penaja pengiklanan untuk produk terbaru keluaran syarikatnya yang bermula pukul 8.15 pagi. Tetapi yang pastinya dia tidak mahu anak kesayanganya itu dimarahi gurunya. Biarlah dia berkorban sedikit buat anak tunggalnya itu.

Seperti yang dijangka, Arman dimarahi ketuanya kerana terlambat ke pejabat semula setelah menghantar buku Thariq. Dia tidak menceritakan apa sebenarnya yang terjadi kerana sudah seringkali anaknya menjadi sebab atas kelewatannya ke tempat kerja. Bagi Arman, kesalahan itu memang terletak di atas bahunya sendiri kerana tidak pandai dalam mengurus masa dan kehidupannya dengan baik.

"Siti, kalaulah awak masih di sisi abang."Tiba-tiba hatinya terasa sayu mengenangkan arwah isterinya.

Isterinya meninggal dunia kerana lemas ketika menyelamatkan Thariq yang mandi di laut lima tahun yang lalu. Kejadian yang benar-benar memberikan tamparan hebat buat dirinya.

Arman masih teringat lagi bila mana dia yang ketika itu sedang berada di Indonesia atas urusan kerja tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada mertuanya. satu panggilan yang benar-benar meluruhkan jantungnya. Kehilangan seorang isteri tersayang.

"Sebab kaulah isteri aku mati!"terbayang diingatannya saat dia memarahi Thariq kerana tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya. Anak kecil yang baru berusia lima tahun yang masih tidak dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku hanya meraung-raung di sisi neneknya kerana dimarahi ayah.

Setelah peristiwa itu, setahun Thariq tinggalkan di bawah penjagaan mertuanya. Arman yang pergi membawa diri. Sehinggalah pada suatu hari dia menerima berita bahawa anaknya demam panas.

Walaupun hatinya masih sakit, namun naluri kebapaannya masih kuat. Di saat dia menatap wajah sugul anaknya yang mirip dengan arwah isterinya, ego lelakinya runtuh. Dipeluknya Thariq sekuat hati.

"Maafkan ayah, nak. Ayah tak patut salahkan Thariq".teresak-esak Arman melutut disisi anaknya. Menyesali perbuatanya, Arman sudah berjanji untuk menjaga Thariq sebaik mungkin dan melunaskan janjinya buat arwah isterinya.

Janji yang dibuat saat Thariq dilahirkan ke dunia. Janji untuk mendidik anak itu sebaik mungkin supaya menjadi buah amal di Akhirat kelak.

Alhamdulillah, Allah S.W.T masih memberikan peluang kepadanya untuk berusaha menjadi seorang ayah kepada Thariq. Walaupun terkadang karenah anaknya itu benar-benar mencabar kesabaranya, namun Arman seringkali terkenangkan perbuatanya yang meninggalkan Thariq selama setahun dan hanya menjenguknya beberapa kali.

"Mungkin ini adalah ujian yang Allah S.W.T berikan kepada aku atas sebab perbuatan aku dulu. Dan semuanya sebab Allah S.W.T sayang aku. Allah S.W.T nak peringatkan tentang kesilapan aku,"kata-kata yang seringkali ditekankan Arman sebagai sebuah peringatan buat dirinya sendiri.

.......................

Selesai Pendidikan Jasmani pada waktu pagi, Thariq masuk ke kelas untuk menukar baju. Hanya beberapa orang rakannya berada di dalam kelas sedangkan yang lain masih berlegar-legar di kantin untuk mengisi tekak yang kehausan. Apabila dibuka beg sekolahnya, matanya terpandang sebuah bungkusan kecil yang dibalut kemas berada di dalam beg.

Dalam kehairanan, dia membuka bungkusan tersebut. Dia tersenyum riang melihat seutas jam tangan yang diidam-idamkan selama ini berada di dalam kotak itu dan sekeping kad terselit di dalamnya. Thariq membuka kad tersebut.

Buat buah hati ayah yang tersayang,
Selamat hari lahir yang ke-10. Ayah minta maaf sebab terlambat bagi hadiah ni pada Thariq. Ayah memang teringin untuk sambut birthday Thariq semalam tapi ayah dah tertidur.
Tharif,
Ayah betul-betul nak minta maaf sebab tak mampu menjadi ayah yang terbaik buat Thariq. Ayah tak mampu nak masak makanan kegemaran Thariq sedap-sedap, ayah tak mampu nak siapkan baju sekolah Thariq pagi-pagi, ayah tak mampu nak luangkan masa untuk bermain dengan Thariq setiap hari, ayah tak mampu nak tolong siapkan kerja rumah, ayah tak mampu nak belikan semua barang yang Thariq minta. Banyak perkara yang tak mampu ayah buatkan untuk Thariq.
Mungkin sebab ayah hanyalah seorang ayah. Ayah tak mampu menjadi sesempurna seorang ibu yang mampu memberikan kelembutan kasih sayang yang lebih baik buat Thariq. Tapi ayah harapkan dalam kekurangan ini, ayah mampu membuatkan Thariq bahagia seadanya. Dan ayah nak Thariq tahu yang ayah benar-benar sayangkan Thariq. Setiap masa. s

Ikhlas,
Ayah.

Basah pipi si anak kecil."Ayah, maafkan Thariq."Ada sedikit kekesalan dihati Thariq atas sikapnya pagi tadi. Jauh disudut hatinya, dia tak sabar untuk pulang ke rumah hari ini. Ingin menemui ayahnya yang tersayang.

.....................

Kring!! Loceng sekolah berbunyi. Tidak seperti biasa, Thariq lah orang pertama yang keluar dari kelasnya menuju pintu pagar.

Di bibirnya tersenyum riang apabila terbayang ayahnya menunggu di dalam kereta dan sebuah pelukan erat ingin diberikan buat ayahnya. Bukan atas penghargaan hadiah yang diberikan ayahnya semata-mata, tetapi kerana pada saat ini, Thariq benar-benar ingin ucapkan sebuah kata-kata yang tidak pernah diucapkannya buat ayah selama ini.

Kata-kata yang disimpan dek kerana hatinya yang dipenuhi pelbagai prasangka buruk terhadap kasih sayang ayahnya kepadanya. Mungkin kerana tamparan kisah silam yang masih tersimpan kemas dalam ingatanya.

Sampai di depan pinti pagar, masih belum nampak kelibat ayahnya. Hatinya tiba-tiba terasa kurang enak. Ditepisnya pelbagai perasaan yang bercampur baur dalam diri.

Ayah Faruqi sudah sampai dengan wajah yang agak cemas. Dia kelihatan sedang menjelaskan sesuatu kepada Faruqi, perasaan ingin tahu Thariq membuak-buak dalam diri.

"Thariq, kereta ayah kau Myvi hitamkan?"Tanya Faruqi.

"A'ah. Kenapa?"Thariq bertanya dengan perasaan berdebar-debar.

"Em...ada kereta Myvi hitam accident kat depan simpang sana. Ayah aku nak patah balik pergi tengok. Kau nak ikut?"

Thariq seperti kehilangan nafas seketika. jantungnya berdegup kencang. Tak mampu bersuara, dia sekadar mengangguk.

Disimpang tiga itu kelihatan orang ramai sudah berkerumun. Sebuah ambulan sudah berada di tempat kejadian dan kelihatan polis trafik sedanng mengawal lalu lintas yang mulai sesak.

Air mata Thariq kelihatan sudah mula menitik. Langkah kaku melihat kereta Myvi yang remuk itu.

"Ayah...Ayah!!"Thariq berlari menuju ke arah sebujur tubuh yang sudah ditutupi kain putih.

"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Ayah! jangan tinggalkan Thariq seorang diri. Mak dah takde. Takkan ayah pun nak tinggalkan Thariq juga. Ayah!"Thariq meraung sambil tangannya memeluk erat tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Terasa gelap seketika dunianya.

Thariq?"terasa bahunya disentuh lembut. Dengan pandangan mata yang kabur disebabkan air mata yang berlinangan, Thariq memandang ke belakang. Yang kelihatan satu susuk tubuh yang amat dikenalinya memandangnya dengan pandangan kehairanan.

"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Thariq mintak maaf sebab kasar dengan ayah pagi tadi. Jangan tinggalkan Thariq lagi, ayah."Teresak-esak Thariq memeluk ayahnya. Dalam hati, sejuta kesyukuran bertandang apabila menyedari ayahnya masih disisi. Arman tersenyum memandang anaknya.

Perasaan gelisah bila melihat anaknya tiada di depan pintu pagar sekolah benar-benar terubat kini. Jika tidak kerana pengawal sekolah yang memberitahunya bahawa Thariq telah pulang bersama Faruqi, mungkin dia telah hilang arah untuk mencari anaknya yang tiada di sekolah.

.........................

Jam sudah menunjukan angka dua belas malam. Arman bersiap-siap untuk tidur. Pakaiannya dan Thariq sudah digosok. Bimbang jika esok terlewat bangun pagi. Difikirannya sedang berkira-kira sarapan apa yang ingin disiapkan buat anaknya.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan.

"Ayah, boleh Thariq tidur dengan ayah?"Ujat Thariq teragak-agak sambil tanganya memegang bantal busuk Doremonnya.

Arman tersenyum. Hatinya terasa bersyukur dengan perubahan sikap Thariq yang tiba-tiba.

Adakah kejadian hari ini benar-benar terkesan dihati anaknya?

Thariq naik ke katil lantas meletakkan kepalanya di bantal sebelah ayahnya.

"Selamat malam Thariq. Jangan lupa baca doa tidur,"Arman tersenyum sambil menutup lampu.

"Selamat malam ayah. Thariq sayang ayah."Arman terkedu dalam kegelapan. Kata-kata yang dinanti-nantikan selama ini. Kata=kata yang benar-benar dirindui untuk didengari oleh Arman.

Setitis airmata mengalir ke pipinya.

"Insyallah, esok Tuhan pasti menjanjikan hari yang lebih baik buat kita berdua."Bisik Arman dalam hatinya.

*credit to Nurul Fakhriah Binti Ramli*

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat-baik kepada ibubapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan jangalah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik" (Al-Isra' :23


Kek terakhir yang dibeli oleh arwah ayah...


p/s : Al-Fatihah buat arwah ayah....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...